BANGKOK 24 Mei -
Nasib bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra (gambar) dan berpuluh-puluh
pemimpin kerajaan serta politik masih menjadi teka-teki, sejak mereka ditahan
oleh pihak tentera, semalam selepas mereka menghadap kerajaan junta, ketika 21
orang penunjuk perasaan ditahan kerana merancang mengadakan bantahan
antirampasan kuasa.
Sumber Parti Pheu Thai mengesahkan Yingluck bersama-sama
berpuluh-puluh pemimpin kerajaan dan ketua-ketua parti, aktivis dan
kumpulan-kumpulan lain ditahan di sebuah kemudahan tentera.
Bagaimanapun sumber berkenaan tidak pasti lokasi Yingluck ditahan
kerana pihak tentera merampas telefon bimbit beliau dan pembantunya.
Jurucakap tentera Thailand, Kolonel Winthai Suvaree berkata,
pemimpin-pemimpin kerajaan yang disingkirkan dan beberapa ahli politik mungkin
ditahan selama seminggu.
"Tempoh mereka ditahan bergantung sejauh mana penglibatan
mereka dalam krisis politik di negara ini," katanya.
Kenyataan beliau itu sekali gus mencetuskan persoalan sama ada
semua individu yang ditahan itu akan disiasat oleh pihak tentera.
Sementara itu, timbalan jurucakap tentera, Kolonel Weerachon
Sukondhapatipak berkata, tindakan menahan Yingluck, anggota Kabinet dan ketua
penunjuk perasaan antikerajaan bertujuan untuk memberi masa kepada mereka untuk
berfikir.
Namun, Sukondhapatipak tidak menjelaskan lebih lanjut tentang
maksud sebenar di sebalik kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, seramai 21 orang ditahan oleh pihak tentera di
timur laut Thailand selepas merancang mengadakan tunjuk perasaan antirampasan
kuasa.
Menurut kenyataan tentera, kira-kira 200 askar menyerbu sebuah
pangsapuri di Khon Kaen, 350 kilometer di timur laut Bangkok, sebelum menahan
kesemua suspek yang mengakui bertindak demikian atas arahan pemimpin Barisan
Hadapan Demokrasi Menentang Pemerintahan Diktator atau Kumpulan Baju Merah.
Turut
dirampas dua bom tangan dan dua silinder gas. - Agensi/AFP/BD