Oleh RAYMOND TOMBUNG
SAYA
percaya anda sudah pun mendengar banyak berita hebat tentang peluang anda boleh
menjadi kaya raya dengan mengatur pejualan tokek, satu spesis haiwan mamalia
dari keluarga cicak. Kononnya tokek boleh menjadi bahan ubat yang dapat
menyembuhkan kanser dan HIV/Aids maka sangat dicari oleh ramai orang di
China.
TOKEK YANG DIGILAI OLEH RIBUAN MANUSIA DI SABAH |
Ketika ini telah merebak satu rupa wabak
kegilaan yang dipanggil tokekmania, bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh
Nusantara (Indonesia dan Filipina) dan di Indochina (Thailand, Kemboja, Vietnam
dan mungkin di Laos). Di kalangan sahabat handai saya sahaja tidak kurang dua
puluh orang yang saya tahu terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan
usaha mencari dan menjual tokek. Saya panggil mereka ini orang-orang yang gila
tokek – cakap tokek, fikir tokek, kira keuntungan tokek, kira kerugian tokek,
risau tokek, teruja tokek, malah mimpi ngeri pun tokek. Dalam Bahasa Inggeris
mereka dipanggil geckho maniacs. Sudah sebati dalam minda, jiwa dan
darah mereka segala macam permainan perniagaan tokek. Mereka sudah boleh layak
dipanggil manusia-manusia mahir dalam selok belok, putar belit, mandung-mandung
serta putar alam dunia tokek. Mereka tahu mana tokek super, mana tokek batu dan
mana tokek boxer.
Seorang sahabat yang saya tahu paling hebat
pengalamannya (mengikut pengakuannya sendiri) ialah seorang ‘usahawan’ dan
perantau yang berani dan tahan tukul, memandangkan dia sudah mengembara hingga
jauh ke Filipina, Semenanjung, Thailand untuk mencari tokek yang lebih 420 gram
beratnya (berat minimum yang diterima oleh kebanyakan pembeli). Setelah lebih
setahun berkecimpung dengan silat terajang permainan tokek, kawan saya ini
belum juga kaya-kaya, walaupun harga seeokor tokek yang cukup saiznya konon
boleh mebawa untung heratus ribu ringgit, malah jika cukup besarnya, boleh
mencecah berjuta ringgit!
MANUSIA LEBIH SAYANG DENGAN BINATANG INI DARIPADA ISTERI |
Kesihan dia kerana lintang pukang mencari
wang untuk pergi ke luar negara, dengan harapan mendapat durian runtuh dengan
walau seekor binatang bodoh yang mebodohkan ini. Entah apalah nasibnya, semua
urusan tidak menjadi. Dia pernah mengalami derita tersadai tanpa wang untuk
makan, hotel dan tambang di Thailand. Ada-ada sahaja masalah yang timbul
apabila cuba merealisasikan satu kejayaan jual beli. Penjual cerewetlah, kerana
minta deposit dulu, atau ejennya minta belanja pendahuluan pergi ke bandar jauh
atau ke pulau kecil untuk mengambil tokek tersebut. Atau ejen-ejen yang
berlapis-lapis hingga lima atau sepuluh orang bergaduh tentang komisyen yang
belum pun menjadi, atau pembeli terlalu banyak syarat hingga tidak dapat
diterima oleh pembeli dan ejen. Atau tokek yang dijanjikan bersaiz besar,
apabila dicari ke tempatnya didapati hanya sebesar hidung atau dua jari
dan tidak ada harga sama-sekali. Sudah beribu-ribu atau beruluh ribu ringgit
wang pelabur sudah diterbangkan, tidak juga ada yang menjadi. Ada sahabat saya
yang mengaku sudah menggunakan wang orang melebihi seratus ribu ringgit tapi
sehingga sekarang kejayaan tidak juga tercapai. Dia masih juga kenyang hanya dengan
angan-angan, menggunakan kalkulator berulang kali, mengira dan membayangkan
masa menjadi kaya raya dan membeli kereta mewah dan rumah besar. Aduh tokek oh
tokek, di manakah engkau!
Baru-baru ini dia menghantar anaknya ke
Surabaya kerana konon di sana ada seekor yang beratnya melebihi tiga kilogram.
Pelabur masuk, sorong beberapa puluh ribu untuk belanja ke rantau orang untuk
pergi memeriksa binatang yang harganya melebihi harga emas putih. Sampai di
Jakarta tidur makan dulu kemudian baru terbang lagi ke Surabaya.
Gedebuk-gedebuk getaran jantung tak sabar menanti bulan jatuh ke riba. Sudah ke
sana ada lagi gangguan. Lebih seminggu tidak juga tokek muncul-muncul. Akhirnya
seekor di bawa namun beratnyanya hanya 800 gram. OKlah, kata mereka, ini pun
memadailah, berjuta-juta juga harganya. Selepas hampir dua bulan di sana anak
kawan saya ini terus tersadai dan belum mendapat apa-apa ganjaran. Yang dialami
cuma penipuan. Kata kawan saya “Dia orang di sana main sihir bah, kau tau!
Diorang boleh bawa seekor yang besar, hidup, bergerak, bernyawa. Betul-betul
punya! Dibayar deposit RM50,000. Sudah diorang jalan, tokek hidup yang
betul-betul hidup tadi sudah menjadi sebotol air mineral!” Wow! Begitu hebat ya
sihirnya, pak! Botol air mineral bisa menjadi tokek palsu! Syukur saja bapak
sendiri tidak menjadi tokek merayap bodoh!
Ada lagi kisah gerun seorang taukeh dirompak
RM100,000 wang tunai di sebuah negara jiran. Maklumlah di sana, sebut sahaja
anda mencari tokek lantas isyarat berbunyi di otak mereka bahawa anda memang
banyak wang. Buat apa susah-susah cari tokek jika boleh dibuat cerita palsu dan
rompak taukeh sahaja. Adalah lagi kesah yang tidak dapat disahkan bahawa ada
taukeh dicolek sembarangan sahaja, bukan oleh Abu Sayyaf atau mana-mana
kumpulan militan tetapi orang kampung biasa. Senang sahaja: Tangkap, bawa masuk
kampung, telefon sanak saudara untuk minta wang tebusan.
Tak kurang juga pegawai-pegawai kerajaan,
termasuk guru-guru yang sudah mengabaikan kerja di pejabat dan sekolah kerana
sibuk mengurus tokek. Ahkirnya yang dikejar tak dapat yang digendong
berciciran. Alahai, semuanya kerana tokek yang hodoh, yang bodoh dan
membodohkan. Pengajaran dari semua ini ialah jika mahu terlibat dengan tokek,
janganlah sampai jatuh cinta ke tahap mabuk kepayang dan gila bayang. Kawal
diri. Jangan heret orang hingga mereka mengalami kerugian yang banyak. Kita
harus mengambil sikap tidak serius. Kalau jadi, jadilah. Kalau tidak jadi itu
tidak hairan. Jangan mudah percaya dan terpedaya. Buat pendirian bahawa jika ia
melanggar undang-undang lebih baik jangan buat. Jangan kerana tokek kita yang
jadi bodoh dan terkorban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan