Oleh RAYMOND TOMBUNG
ISTILAH “mentaliti ketam” (crab mentality) telah diperkenalkan pada
mulanya oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, jika tidak silap saya di tahun-tahun
1980-an. Mentaliti ketam merujuk kepada cara pemikiran orang pribumi
(Bumiputera anak negeri) Sabah di mana mereka akan menjadi sangat irihati atau
cemburu apabila rakan atau saudara-mara mereka mencapai kemajuan dalam apa
bidang pun, terutama dalam bidang perniagaan dan ekonomi, dan juga politik.
Melihat sahaja orang lain maju,
kita mulalah memikirkan apa komen yang perlu dibuat untuk memperkecil-kecilkan
kemajuan itu. Biasanya ditimbulkan sangkaan-sangkaan jahat tentang bagaimana si
polan mendapat kemajuan. Sangkaan pertama bagaimana seseorang itu boleh maju
dalam perniagaan ialah dia telah menipu dan masih terus menipu tanpa berhati
perut. Maka kedengaranlah kesah bagaimana si anu telah ditipu olehnya, dan
bagaimana dia pernah bercakap dan berbuat jahat di satu masa dulu, bagaimana
dia telah berhutang sekian banyak dan sehingga sekarang belum juga dibayar, dan
entah apa lagi. Pendek kata, bermula dengan jelingan cemburu, timbul komen
kurang manis, dan akhirnya komen-komen ini menjadi kutukan-kutukan kesat hingga
orang yang berjaya itu dituduh lagi menggunakan ilmu hitam untuk memikat
pelanggan, memukau orang, memugai (memikat dengan ilmu hitam) janda kaya, dan
bermacam-macam lagi.
KETAM BATU "Mentaliti ketam merujuk kepada cara pemikiran orang pribumi (Bumiputera anak negeri) Sabah di mana mereka akan menjadi sangat irihati atau cemburu apabila rakan atau saudara-mara mereka mencapai kemajuan dalam apa bidang pun, terutama dalam bidang perniagaan dan ekonomi, dan juga politik."
ATAU KATAM KAYU
Istilah mentaliti ketam timbul
kerana kononnya dalam satu bakul yang bersisikan banyak ketam, ketam-ketam cuba
keluar dari bakul itu untuk melepaskan diri, tetapi usaha ini tidak mudah
dilakukan kerana ketam-ketam lain di belakang akan menarik kembali
ketam-ketam yang hampir keluar dari bakul ini. Malah ketam-ketam di
belakang akan memijak dan mencakar ketam-ketam yang di depan dan menghirit
turun yang sudah hampir terlepas. Akhirnya semua ketam-ketam tidak dapat keluar
dari bakul itu kerana sikap mereka yang setiap satu mementingkan diri sendiri
dan terus menjatuhkan yang lain, seperti sikap rotan dalam belukar yang
berusaha mengeluarkan pucuk mereka masing-masing.
Timbul juga lawak yang
mengatakan bahawa ketam Dusun dalam sebuah bakul tidak payah ditutup kerana
mereka semua tidak akan dapat keluar kerana sikap ini. Sebaliknya, bakul ketam
Cina perlu ditutup kuat kerana hampir semua mereka akan cepat terlepas kerana
ketam-ketam di belakang tidak akan menarik ke belakang mereka-mereka yang mahu
naik keluar tetapi akan menyorong mereka untuk membantu mereka terlepas dan
maju!
Dalam satu kisah muka depan
Harian Metro baru-baru ini, diceritakan bagaimana orang Melayu sendiri
menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan pesaing mereka dalam perniagaan.
Perbuatan ini dilakukan dengan menggunakan kuasa patung kecil yang dibungkus
dengan kain putih dan ditanamkan di tempat peniaga yang menjadi saingan. Dalam
masyarakat Dusun dan Murut juga terdapat banyak amalan ilmu hitam yang sengaja
dilakukan bukan sahaja untuk menjatuhkan saingan malah untuk menjadikan mereka
sakit dan meninggal dunia. Jika anda mempunyai apa-apa kisah seperti ini saya
suka jika anda dapat kirimkan kepada saya untuk saya ceritakan kepada pembaca –
semuanya demi pengajaran dan perubahan masyarakat kita kepada yang lebih
bertamadun dan beriman.
Sungguh menyedihkan apabila
kita mendengar orang-orang kita sendiri tidak ada senang hati melihat orang
lain mencapai kemajuan. Seperti satu program komputer yang automatik akan
dimuat naik, kutukan atau komen menghina akan terkeluar dari mulut kita apabila
ada orang lain mula naik di tangga kejayaan. Seorang sepupu saya pernah
menangis apabila melihat semua ikan-ikan di kolamnya telah terapung mati kerana
telah diracun orang yang cemburu. Kita semua harus mengubah sikap agar kita
secara automatik akan memuji orang kita yang maju, dan mencari jalan menyokong
dia agar dia lebih maju. Dan di samping itu kita harus mengambil sikap yang
positif dengan mendekati orang yang maju itu dengan tujuan mahu belajar
daripadanya agar kita juga maju seperti dia.
Atau kita mencari kemudahan,
ilmu dan kemahiran kita sendiri agar kita juga mencapai kemajuan seperti dia di
dalam bidang yang sama atau di bidang yang lain mengikut bakat dan cita-cita
kita sendiri. Bukankah dunia cukup luas untuk semua orang menjadi maju dan
mencapai kesenangan? Perlukah hanya seorang dua sahaja yang berjaya dan
membiarkan yang lain menderita agar yang sudah berjaya itu menikmati kejayaan,
dan mendapat pujian dan penyembahan daripada orang-orang yang terus susah? Itu
adalah sikap feudal yang negatif, angkuh dan mementingkan diri semata-mata.
Tetapi itulah lumrah manusia
yang masih melanda msyarakat kita. Bagaimanakah kita dapat mengatasinya?
Memandangkan hebatnya permainan cantas-mencantas bukan sahaja di kalangan
mansyarakat kampung tetapi juga di kalangan masyarakat kota, malah di
pejabat-pejabat tempat bekerja, kita dipaksa untuk mencari strategi cermat
untuk menghindarkan diri daripada menjadi mangsa kutukan dan serangan yang
menggunakan kuasa kegelapan. Kes-kes pembunuhan Datuk Sosilawati, dan Canny Ong
dan Mazlan Idris (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam di Pahang) oleh Mona
Fandey dan rakan-rakan, mengesahkan betapa seriusnya kejahatan manusia yang
masih mengancam manusia sekalipun di zaman moden ini.
Pada perkiraan akhir, masalah
kita bukan setakat mentaliti ketam tetapi juga roh pembunuhan yang dirangsang
oleh kuasa-kuasa iblis. Meskipun kita masing-masing tidak berupaya menghentikan
kejahatan ini, kita secara peribadi boleh berbuat sesuatu untuk melindungi diri
dari semua ini dengan menjauhkan diri daripada mereka-mereka yang nampaknya
berkemungkinan melakukannya, mendekati orang-orang yang bersifat positif,
sambil kita bergantung kepada perlindungan Tuhan melalui kekuatan iman dan
amalan kerohanian kita.
Terlalu ramai sudah manusia yg telah menjadi mangsa sifat ketam ini, yang peliknya belum ada formula yang menghalang sifat ini menegar dalam hidup KDM sehingganya bangsa ini kehilangan segalanya!..ini kali lah ba raymond kita cipta formula benteras ketam-ketam di laut china selatan.
BalasPadam