ANWAR |
KUALA LUMPUR (Malaysia): Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini
dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan negara ke-56 menyatakan kesediaan
untuk bertemu dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara.
Anwar turut menggesa pertemuan segera diadakan antara
Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).
“Titik pertemuan BN dan PR perlu segera dicari bagi
menyelamatkan negara di samping menyeru melupakan kesalahan masing-masing
sempena hari kemerdekaan negara esok,” katanya dalam satu sidang media di Ibu
Pejabat PKR di Petaling Jaya.
Ketua Umum PKR itu berkata, meskipun PR mendapat undi
majoriti rakyat, namun mereka bersedia melupakan ketegangan dan penyelewengan
yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu.
Beliau berkata, antara topik yang boleh dibincangkan bersama
ialah membabitkan isu kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan akhir-akhir
ini; masalah ekonomi negara yang semakin merudum dan masalah jenayah yang
semakin membimbangkan rakyat di seluruh negara.
Katanya, perbincangan juga harus menyentuh aspek urus tadbir
kerajaan bagi membasmi rasuah dan keadilan dalam pemberian tender.
“Datuk Seri Najib Razak harus terbuka untuk berbincang
kerana banyak dasar dan program yang boleh disepakati bersama. Pendekatan PR
untuk mengajak BN berbincang bukan bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan
tetapi perbincangan terbuka yang biasa diamalkan kerajaan demokrasi.
“Kami mahu perubahan yang adil bagi memastikan negara
mengamalkan prinsip demokrasi. Ini kerana pendedahan Fitch Ratings baru-baru
ini perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana kira-kira RM20 billion setahun
dapat dijimatkan jika urus tadbir ekonomi negara dilakukan dengan cara yang
baik.
“Bagi mencapai hasrat itu, maka penting kerajaan BN mengurangkan
defisit fiskal serta menangani rasuah serta telus dalam pemberian tender,”
katanya.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) harus diberi kebebasan sepenuhnya baagi menyiasat pembabitan rasuah
tokoh besar di samping pihak polis digesa untuk menjalankan siasatan mengikut
lunas undang-undang yang ditetapkan.
Anwar berkata, kerajaan harus segera menghentikan kegiatan
menghasut rakyat menggunakan media arus perdana serta tidak menggunakan badan
bukan kerajaan (NGO) sebagai alat bagi menyampaikan propaganda kerajaan.
“Dalam usia kemerdekaan negara mencecah 56 tahun, negara
masih berdepan dengan isu polarisasi kaum dan menghadapi bibit perpecahan dalam
agama. Masyarakat sepatutnya dididik untuk menjadi lebih matang bukan
didedahkan dengan agenda politik sedemikian.
“Kita harus bertanya adakah hari ini Perlembagaan
Persekutuan subur diamalkan dalam negara atau sudah ada pencabulan terhadap
kanun negara itu,” katanya yang menyifatkan pemimpin BN masih enggan belajar
dari sejarah negara yang lalu.
Perdana menteri sebelum ini berkata, PR perlu bersedia
menerima keputusan PRU13 sebelum perbincangan dimulakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan