KENINGAU (Sabah, Malaysia): Persatuan Dusun Minamasok
Borneo Utara Sabah (Minamasok) berkata, hanya dengan mengwujudkan kuota jawatan
Timbalan Perdana Menteri untuk Sabah atau Sarawak, membolehkan kekuatan
kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan tergugat sehingga bila-bila.
Presiden persatuan itu, Dimie Guntop berkata pada Khamis di Keningau,
jawatan TPM sama ada pemimpin dari Sabah atau Sarawak amat menepati definasi
negeri ini sebagai ‘simpanan tetap’ kepada kerajaan persekutuan.
“Minamasok berpendapat bahawa cadangan ini amat baik dan relevan untuk
menjadikan BN memiliki status yang benar-benar kukuh,” katanya.
Memberikan butiran cadangan itu kepada akhbar ini selepas menghadiri
Taklimat Pengurusan Pertubuhan Berkualiti anjuran Jabatan Pendaftar Pertubuhan
(ROS) di salah sebuah hotel terkemuka di Keningau, Dimie menjelaskan bahawa
nilai Sabah dan Sarawak seimbang apabila negeri yang berada di tanah Borneo itu
mempunyai pemimpin yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, dengan ada pemimpin yang menduduki kerusi nombor dua dalam
kerajaan persekutuan, dan mereka sama ada berasal dari Sabah atau Sarawak, BN
memiliki perisai yang amat kuat untuk melindungi kerajaan daripada diperlekeh
oleh pemimpin pembangkang.
Menurutnya perpaduan rakyat di kedua-dua negeri amat perkasa jika mereka
mempunyai pemimpin Timbalan Perdana Menteri (TPM).
“Saya bercakap mengenai rasional kesamarataan kuasa dan pengaruh, dan
resepi ini dicadangkan oleh Minamasok,” katanya.
Persatuan Minamasok mempunyai pengaruh yang begitu kuat dikalangan
bangsa Dusun yang mempunyai 23 etnik di negeri Sabah, yang merupakan orang asal
negeri ini.
Menjawab satu soalan, pemimpin Minamasok itu menjelaskan bahawa
persatuan itu tidak berminat untuk menyertai politik, namun menekankan sebuah
kerajaan yang kukuh seharusnya dihormati oleh semua pihak termasuk pembangkang.
Jesteru katanya, usaha persatuan itu untuk mencadangkan kaedah
pengukuhan kerajaan, seperti mengwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri
(TPM) bagi pemimpin yang datang daripada Sabah atau Sarawak, sesuatu yang
ikhlas dan tidak berunsur politik.
“Minamasok mempunyai ramai ahli berbangsa Dusun di merata tanah Borneo
yang mengharapkan sebuah kerajaan yang kukuh dan tidak dicabar oleh
pembangkang,” katanya.
“Sesuatu yang kita amat harapkan ialah sebuah kerajaan yang tidak ada
pihak yang menganggu,” tambahnya dan berkata, pemimpin-pemimpin BN perlu
melihat cadangan itu dalam sudut positif
Tiada ulasan:
Catat Ulasan