EDITOR

http://www.samafm.tk - SAMAfm Malaysia radio atas talian BORNEO DIGEST. 'Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku' --- Selamat Tahun Baru / Xong Xi Fa Cai 2014.

Jumaat, 9 Mac 2012

NASIB PEMBURU TOKEK


Oleh RAYMOND TOMBUNG
SAYA percaya anda sudah pun mendengar banyak berita hebat tentang peluang anda boleh menjadi kaya raya dengan mengatur pejualan tokek, satu spesis haiwan mamalia dari keluarga cicak. Kononnya tokek boleh menjadi bahan ubat yang dapat menyembuhkan kanser dan HIV/Aids maka sangat dicari oleh ramai orang  di China.
TOKEK YANG DIGILAI OLEH RIBUAN MANUSIA DI SABAH
   Ketika ini telah merebak satu rupa wabak kegilaan yang dipanggil tokekmania, bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh Nusantara (Indonesia dan Filipina) dan di Indochina (Thailand, Kemboja, Vietnam dan mungkin di Laos). Di kalangan sahabat handai saya sahaja tidak kurang dua puluh orang yang saya tahu terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan usaha mencari dan menjual tokek. Saya panggil mereka ini orang-orang yang gila tokek – cakap tokek, fikir tokek, kira keuntungan tokek, kira kerugian tokek, risau tokek, teruja tokek, malah mimpi ngeri pun tokek. Dalam Bahasa Inggeris mereka dipanggil geckho maniacs. Sudah sebati dalam minda, jiwa dan darah mereka segala macam permainan perniagaan tokek. Mereka sudah boleh layak dipanggil manusia-manusia mahir dalam selok belok, putar belit, mandung-mandung serta putar alam dunia tokek. Mereka tahu mana tokek super, mana tokek batu dan mana tokek boxer.
   Seorang sahabat yang saya tahu paling hebat pengalamannya (mengikut pengakuannya sendiri) ialah seorang ‘usahawan’ dan perantau yang berani dan tahan tukul, memandangkan dia sudah mengembara hingga jauh ke Filipina, Semenanjung, Thailand untuk mencari tokek yang lebih 420 gram beratnya (berat minimum yang diterima oleh kebanyakan pembeli). Setelah lebih setahun berkecimpung dengan silat terajang permainan tokek, kawan saya ini belum juga kaya-kaya, walaupun harga seeokor tokek yang cukup saiznya konon boleh mebawa untung heratus ribu ringgit, malah jika cukup besarnya, boleh mencecah berjuta ringgit!
 MANUSIA  LEBIH SAYANG DENGAN BINATANG INI DARIPADA ISTERI
   Kesihan dia kerana lintang pukang mencari wang untuk pergi ke luar negara, dengan harapan mendapat durian runtuh dengan walau seekor binatang bodoh yang mebodohkan ini. Entah apalah nasibnya, semua urusan tidak menjadi. Dia pernah mengalami derita tersadai tanpa wang untuk makan, hotel dan tambang di Thailand. Ada-ada sahaja masalah yang timbul apabila cuba merealisasikan satu kejayaan jual beli. Penjual cerewetlah, kerana minta deposit dulu, atau ejennya minta belanja pendahuluan pergi ke bandar jauh atau ke pulau kecil untuk mengambil tokek tersebut. Atau ejen-ejen yang berlapis-lapis hingga lima atau sepuluh orang bergaduh tentang komisyen yang belum pun menjadi, atau pembeli terlalu banyak syarat hingga tidak dapat diterima oleh pembeli dan ejen. Atau tokek yang dijanjikan bersaiz besar, apabila dicari ke tempatnya didapati hanya  sebesar hidung atau dua jari dan tidak ada harga sama-sekali. Sudah beribu-ribu atau beruluh ribu ringgit wang pelabur sudah diterbangkan, tidak juga ada yang menjadi. Ada sahabat saya yang mengaku sudah menggunakan wang orang melebihi seratus ribu ringgit tapi sehingga sekarang kejayaan tidak juga tercapai. Dia masih juga kenyang hanya dengan angan-angan, menggunakan kalkulator berulang kali, mengira dan membayangkan masa menjadi kaya raya dan membeli kereta mewah dan rumah besar. Aduh tokek oh tokek, di manakah engkau!
   Baru-baru ini dia menghantar anaknya ke Surabaya kerana konon di sana ada seekor yang beratnya melebihi tiga kilogram. Pelabur masuk, sorong beberapa puluh ribu untuk belanja ke rantau orang untuk pergi memeriksa binatang yang harganya melebihi harga emas putih. Sampai di Jakarta tidur makan dulu kemudian baru terbang lagi ke Surabaya. Gedebuk-gedebuk getaran jantung tak sabar menanti bulan jatuh ke riba. Sudah ke sana ada lagi gangguan. Lebih seminggu tidak juga tokek muncul-muncul. Akhirnya seekor di bawa namun beratnyanya hanya 800 gram. OKlah, kata mereka, ini pun memadailah, berjuta-juta juga harganya. Selepas hampir dua bulan di sana anak kawan saya ini terus tersadai dan belum mendapat apa-apa ganjaran. Yang dialami cuma penipuan. Kata kawan saya “Dia orang di sana main sihir bah, kau tau! Diorang boleh bawa seekor yang besar, hidup, bergerak, bernyawa. Betul-betul punya! Dibayar deposit RM50,000. Sudah diorang jalan, tokek hidup yang betul-betul hidup tadi sudah menjadi sebotol air mineral!” Wow! Begitu hebat ya sihirnya, pak! Botol air mineral bisa menjadi tokek palsu! Syukur saja bapak sendiri tidak menjadi tokek merayap bodoh!
   Ada lagi kisah gerun seorang taukeh dirompak RM100,000 wang tunai di sebuah negara jiran. Maklumlah di sana, sebut sahaja anda mencari tokek lantas isyarat berbunyi di otak mereka bahawa anda memang banyak wang. Buat apa susah-susah cari tokek jika boleh dibuat cerita palsu dan rompak taukeh sahaja. Adalah lagi kesah yang tidak dapat disahkan bahawa ada taukeh dicolek sembarangan sahaja, bukan oleh Abu Sayyaf atau mana-mana kumpulan militan tetapi orang kampung biasa. Senang sahaja: Tangkap, bawa masuk kampung, telefon sanak saudara untuk minta wang tebusan.
   Tak kurang juga pegawai-pegawai kerajaan, termasuk guru-guru yang sudah mengabaikan kerja di pejabat dan sekolah kerana sibuk mengurus tokek. Ahkirnya yang dikejar tak dapat yang digendong berciciran. Alahai, semuanya kerana tokek yang hodoh, yang bodoh dan membodohkan. Pengajaran dari semua ini ialah jika mahu terlibat dengan tokek, janganlah sampai jatuh cinta ke tahap mabuk kepayang dan gila bayang. Kawal diri. Jangan heret orang hingga mereka mengalami kerugian yang banyak. Kita harus mengambil sikap tidak serius. Kalau jadi, jadilah. Kalau tidak jadi itu tidak hairan. Jangan mudah percaya dan terpedaya. Buat pendirian bahawa jika ia melanggar undang-undang lebih baik jangan buat. Jangan kerana tokek kita yang jadi bodoh dan terkorban. 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan