... apa dalam fikiran saya.
Oleh RAYMOND TOMBUNG
DALAM percaturan politik yang sedang berlaku sekarang, perlu ditanya soalan
yang sangat relevan: Kemana halatuju SAPP? Tanpa disedari ramai orang,
sebenarnya SAPP sejak akhir-akhir ini telah mendapati dirinya berada di dalam
satu dilema yang bukan mudah untuk diselesaikan.
Dr. Jeffrey dan Badaruddin komited bekerjasama |
Dilema ini semakin ketara apabila STAR
dilancarkan dengan sambutan di luar jangkaan. Sebelum itu hari -- ulangtahun
UBF yang pertama telah diadakan di Penampang dan dihadiri oleh Sdra. Amde
Sidek, Timbalan Presiden SAPP, di mana beliau duduk dan berdiri di hadapan
sebaris dengan Dr. Drispin Sakoi, Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey, Pengerusi
UBF dan Datu Badaruddin Tun Mustapha, Presiden Penaja USNO.
Selama itu pun Dr. Jeffrey telah mengadakan satu siri perbincangan
dengan Datuk Yong Teck Lee, Presiden SAPP tentang bagaimana mereka boleh
bekerjasama sebagai satu pasukan pembangkang untuk menentang BN dalam
pilihanraya akan datang.
Yong telah mempunyai keterbukaan kepada
kemungkinan Dr. Jeffrey akan mempunyuai partinya sendiri, dan kalau Dr. Jeffrey
gagal memperolehi partinya, SAPP telah bersedia memberi ruang untuk Dr. Jeffrey
dan kumpulannya bertanding menggunakan lambang SAPP.
DATUK YONG TECK LEE |
Malangnya setelah Dr. Jeffrey mendapat
persetujuan dengan para pemimpin STAR di Sarawak untuk membawa parti itu ke
Sabah sekali lagi (STAR pernah bertanding di Sabah di dua kawasan parlimen pada
tahun 1999), dan melancarkan parti itu bulan lalu dengan sambutan yang amat
luarbiasa, SAPP nampaknya telah mulai merasa ragu-ragu untuk bekerjasama dengan
Dr. Jeffrey. Malahan, SAPP telah
mengeluarkan stetmen menafikan yang SAPP ada hubungan dengan STAR, dan Amde
pula berkata kehadirannya di pelancaran STAR “hanyalah untuk memberi sokongan
peribadi kepada Jeffrey” – satu kelentong politik yang cukup sopan tetapi
sangat tidak meyakinkan.
Saya percaya perubahan sikap SAPP yang tiba-tiba ini adalah disebabkan
oleh hanya satu perkara – SAPP menggeruni kemungkinan STAR menjadi lebih penting
dan lebih kuat dari SAPP, dan jika ia bekerjasama dengan STAR, ia akan menjadi
kuasa nombor dua, dan meletakkan Yong di bawah tahap Dr. Jeffrey! Mana
tidaknya, selama ini Yong telah menganggap dirinya pemimpin pembangkang yang
paling berpengaruh dan paling kuat di Sabah, dan telah berharap Dr. Jeffrey
akan menyertainya – sebagai pengikut.
Sekarang, apabila bintang STAR bersinar
lebih memukau daripada yang dijangka, SAPP seperti melihat STAR sebagai satu
ancaman kepada kedudukannya.
Tetapi masalah bagi SAPP ialah: Apakah halatujunya sekarang, dalam
percaturan politik terkini di mana STAR mendapat sokongan yang begitu kuat di
seluruh Sabah?
Sebahagian daripada 3000 rakyat menyaksikan majlis menandatangani Dekelarasi Semporna diantara STAR dan USNO |
Apakah yang SAPP harus lakukan apabila
melihat bahawa STAR dan USNO sudah menandatangani Deklarasi Semporna, dengan
janji bekerjasama untuk menentang BN dalam pilihanraya akan datang? Dr. Jeffrey berkata, Deklarasi Semporna yang
ditandatangani dalam satu perhimpunan USNO di Semporna pada 29 Januari lalu –
satu perhimpunan yang dihadiri oleh 3,000 orang – adalah satu dokumen penting
kerana ia menyatupadukan rakyat Sabah, iaitu para KDM di Pedalaman dan para
Muslim Bumiputera di Pantai Timur.
Kehadiran 3,000 orang di Semporna lantas
melonjakkan semangat Pakatan Borneo untuk melangkah terus walaupun tanpa ada lagi
parti lain menyertainya, meskipun sebenarnya satu parti Cina memang diperlukan
untuk bertanding di kawasan-kawasan Cina.
Masalahnya SAPP tidak mahu mengambil peranan
ini (sebagai komponen Cina dalam Pakatan Borneo) kerana dari awal-awal lagi ia
membayangkan dirinya mahu bertanding di 40 kawasan pilihanraya negeri dan lima
kawasan parlimen! Dia telah membuat perundingan dengan Pakatan Rakyat untuk
meminta jumlah kerusi yang sama, tetapi PR berpendapat ia hanya layak
bertanding di tiga kawasan DUN.
Ia juga pernah diberitahu oleh PKR bahawa jika
ia mahu bertanding 40 kerusi negeri kenapa mahu lagi kerusi parlimen? Sedang
perundingan ini terbantut, SAPP juga sedang berunding dengan Pakatan
Borneo. Dalam mesyuarat Pakatan Borneo yang pertama pada 31 Januari yang lalu,
SAPP masih juga meminta jumlah kerusi yang sama, sedangkan STAR dan USNO sudah
bersetuju mengambil kawasan-kawasan KDM dan Muslim Bumiputera.
Akhirnya, wakil SAPP, Amde, menyatakan
bahawa SAPP “bersetuju pada dasarnya, tetapi tertakluk kepada perundingan
dengan Presiden dan Majlis Tertinggi SAPP.”
Masalahnya sekarang ialah SAPP besar
kemungkinan akan diabaikan oleh kedua-dua PR dan Pakatan Borneo.
PR sudah jemu berunding dengan SAPP dan
telah mengambil sikap, kalau mahu terimalah, kalau tidak, lupakan sahaja.
Demikian juga Pakatan Borneo tidak nampak bagaimana ia boleh berurusan dengan
SAPP jika SAPP terus mahu berdegil meminta 40 kerusi DUN!
Apa
yang SAPP harus lakukan sekarang ialah menghentikan pendiriannya bahawa kononnya
ia adalah parti pelbagai kaum atau parti yang bukan berdasarkan kaum. Ini
kerana, seperti juga DAP, SAPP tetap parti Cina dari sudut pandangan rakyat
Sabah.
Lainlah barangkali jika dalam masa tiga tahun
sebelum ini Datuk Eric Mojimbun telah mengambil-alih Yong sebagai Presiden SAPP
dan parti itu telah menjalankan kempen menarik sokongan orang-orang KDM.
Sekarang ini, meskipun dengan kehadiran
Mojimbun, Amde Sidek, Dullie Marie, dan Peter Marajin di dalam SAPP, ia tetap
parti Cina dari pandangan umum. Malah rakyat bertanya apakah pemimpin-pemimpin
ini sedang buat di SAPP? Adakah mereka bermimpi untuk bertanding di
kawasan-kawasan mereka atas tiket SAPP?
Bolehkah mereka menang? Masalahnya lagi,
kecuali Mojimbun, para pemimpin bukan Cina SAPP (Amde, Dullie, dan
Marajin) adalah para pemimpin yang masih hijau. Mereka belum berupaya menukar
imej SAPP menjadi parti pelbagai kaum yang sejati, lebih-lebih lagi dengan
peranan Yong yang dominan, dan perlu terus mengekalkan dominasi Cina dalam
SAPP.
Oleh yang demikian SAPP harus merendahkan
dirinya dan menerima hakikat ini. Jika ia mahu mempunyai peranan yang bermakna
dalam kerjasama pembangkang di Sabah, ia perlu menerima peranan sebagai parti
Cina yang akan bertanding di kawasan Cina sahaja. Jika ia terus juga berkeras
dengan mahukan 40 kerusi ia akan menemui jalan buntu dalam semua usaha
perundingannya dengan mana-mana pihak.
Mungkin ia berfikiir akan berunding dengan
Sabah People’s Front (SPF), tetapi harapan SPF untuk menerima para pemimpin BN
yang kononnya akan melompat ke SPF sebenarnya belum lagi menjadi kenyataan.
Dan ketika ini ada juga yang menyuarakan
keraguan sama ada lompatan-lompatan itu akan berlaku memandangkan banyak sudah
kedengaran langkah undur di sana sini. Namun walaupun SPF menjadi sebuah parti
yang mempunyai kekuatan baru, SAPP tetap juga akan menemui jalan buntu dan
melanggar tembok tebal jika ia terus menuntut 40 kerusi negeri. Dan bagaimana
jika pada waktu itu SPF juga mahu menyertai Pakatan Borneo? Bukan ruang SAPP
akan menjadi lebih sempit lagi?
Kesimpulannya SAPP mempunyai hanya dua
pilihan: 1. Merendahkan diri dan menjadi komponen Cina dalam Pakatan Borneo,
atau 2. Bertanding sendiri dalam 40 kawasan DUN untuk menguji kekuatan sebagai
parti yang kononnya pelbagai kaum atau tidak berasas kaum.
Kita tunggu dan lihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan